KAK NURI : PENYEMARAK KEBANGKITAN MUSLIMAT

Dipetik dari laman web Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Friday, December 14, 2007

Seingat saya , sejak saya menyertai PAS pada tahun 1985 inilah kali pertama Ketua Dewan Muslimat PAS ditangkap atas “kesalahan” berniat untuk memasuki parlimen ( Dewan Rakyat ) .

Apakah ini petanda bahawa Muslimat telah mula meletakkan diri mereka di rel utama yang melandasi perjuangan suci ini ? Ya ! saya merasakan demikian . Tambahan pula , peristiwa tangkapan Ustazah Nuridah itu berlaku dihadapan mata saya . Saya dapat melihat bagaimana ketabahan dan ketenangan beliau menghadapi situasi ini .

Lebih menarik , turut tertangkap bersama Ustazah Nuridah ialah Dr. Lo’ Lo’ yang pastinya figure ini dikenali umum sebagai seorang tokoh Muslimat yang gigih dan cekal .

Semasa kami “terkurung” di IPK KL , saya terus mengikuti perkembangan yang berlaku di luar dan seorang sahabat , akhi Fadhil Shafie tak jemu – jemu melaporkan apa yang sedang berlaku di pintu masuk IPK KL .

Antara laporan yang saya terima , ialah bagaimana perkarangan IPK telah dikuasai oleh “tentera” Muslimat yang di ketuai oleh Dr. Mariah ( AJK PAS Pusat ) , Ustazah Wan Hasrina ( Timbalan Ketua Dewan Muslimat ) dan Aiman Athirah al Jundi ( Setiausaha Dewan Muslimat ) .

Suara pemuda atau muslimin yang biasanya lantang dipentas demontrasi jelas tenggelam di bawah laungan semangat para Muslimat yang berkumpul di depan IPK pada waktu itu .

Sehingga ada seorang pemuda yang turut serta dalam himpunan di perkarangan IPK tersebut memberitahu saya , bagaimana situasi itu benar – benar dikuasai Muslimat . Muslimat berbalas hujjah dengan pihak PDRM sehingga menimbulkan suasana panas dan tegang ekoran pihak PDRM enggan menunaikan tuntutan mereka agar membebaskan kami yang sedang ditahan pada waktu itu .

Amaran demi amaran dikeluarkan oleh PDRM supaya mereka bersurai , langsung tidak menggentarkan semangat para mujahidah yang terus lantang melaungkan slogan bebaskan tahanan !

Sehinggalah seorang pejuang tua yang istiqamah , malah tidak pernah mengenal erti kalah hadhir bagi menampakkan kembali penguasaan sang muslimin dalam satu – satu perhimpunan . Orang tua berjiwa kental yang saya maksudkan ialah Pak Cik Amjal .

Semarak perjuangan amal Islami berbekal semangat dan kesedaran menuntut hak terus marak sehingga saya sendiri mendengar suara amaran PDRM melalui corong speaker meminta mereka bersurai dalam masa 5 minit sebelum mereka diambil tindakan dan ditangkap .

Ternyata amaran itu sekali lagi tidak memberi kesan kepada mereka selagi ketua mereka Ustazah Nuridah , Dr. Lo’ Lo’ dan semua tahanan belum dibebaskan . Keadaan kian tegang sehinggalah kehadhiran Yb Salahudin Ayub ( Ketua DPP Pusat ) menenangkan keadaan dan bersedia utk mengambil tangungjawab bagi melanjutkan usaha membebaskan tahanan .

Apa yang ingin saya nukilkan di sini ialah kebangkitan Muslimat yang sebelum ini dilihat secara umumnya tidak bernada dan berwajah sebagaimana yang disaksikan hari ini , adalah satu kebangkitan yang sangat membanggakan .

Nyata kini mereka juga sememangnya berani berhadapan dengan kuasa yang angkuh dan zalim demi memperjuangkan Islam . Apa yang cukup membuatkan hati saya tersentuh , mereka juga sanggup mengambil risiko demi perjuangan ini dan ianya mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan duniawi .

Kalau yang ditangkap hanya seorang lelaki atau pemuda , itu tidaklah menghairankan saya dalam perjuangan kita di Malaysia ini. Tetapi apabila seorang Muslimat yang juga ibu kepada anak yang ramai dan masih memerlukan belaiannya , ini sangat menyentuh hati saya .

Ustazah Nuridah atau lebih senang saya panggil Kak Nuri , kini sering menasihati para muslimat anak buahnya agar tidak gentar dengan ugutan polis atau pihak musuh untuk memastikan agenda perjuangan Islam yang kita dokong ini terus dilangsungkan dengan jayanya.

Malah , sewaktu Kak Nuri memberi statement kepada pihak polis , dengan tegas Kak Nuri menyatakan bahawa saya tidak bersetuju saya ditangkap kerana saya adalah seorang rakyat yang baik dan berjuang demi kepentingan agama , bangsa dan tanahair .

Akhirnya , apa yang ingin saya kongsi dengan semua pencinta agama , khasnya Muslimat terhadap apa yang berlaku sewaktu kami dalam tahanan di IPK baru – baru ini , cukup menjanjikan sinar buat perjuangan khasnya melalui sayap kirinya .

Sebagaimana umum mengatahui , muslimat yang tertangkap hari itu ialah Kak Nuri dan Dr. Lo’ Lo’ . Sedari awal mereka turun ke parlimen hinggalah detik kami dibebaskan , kak Nuri dan Dr’ Lo’ Lo’ kelihatan sangat ceria , tenang dan mesra .

Saya melihat mereka bagai satu regu yang cukup mantap dengan gabungan segala kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh mereka untuk terus memimpin Muslimat meredah belantara perjuangan ini .

Sementara diluar bangunan IPK pula , Ustaz Wan Hasrina atau lebih mesra saya panggil Kak Wan bergandingan pula dengan Dr. Mariah .

Saya antara yang sangat memahami bagaimana Dewan Muslimat terpaksa melalui hari – hari yang sukar mengorak rentak dan mencari sentuhan dalam mendepani pelbagai halangan dan rintangan ( tahaddiyat ) sebelum ini , kini bagaikan telah menemui ramuan membentuk regu kepimpinan yang mantap dan digeruni musuh .

Ya ! Gandingan Kak Nuri , Kak Wan ( Ketua dan Timbalan Ketua DMP Pusat ) dan Dr. Lo’ Lo’ , Dr Mariah ( AJK PAS Pusat ) akan menjadi 2 regu dalam satu pasukan menyemarakkan kebangkitan muslimat .

Advertisements

CERAMAH UMUM PENJELASAN ISU PENAHANAN DI PARLIMEN

Lajnah Penerangan & Dakwah DMPP dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Pusat menganjurkan Ceramah Umum Penjelasan Isu Penahanan di Parlimen pada 13 Disember 2007 (Khamis) bermula jam 9 malam.   

Di antara pimpinan yang akan berucap di Ceramah Umum tersebut ialah Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Hj Mohd Ghazali.   

Semua rakyat Malaysia dijemput hadir untuk mendengar sendiri daripada para pimpinan apakah sebenarnya yang berlaku semasa insiden penahanan beramai-ramai aktivis BERSIH di bangunan Parlimen yang berlaku pada 11 Disember yang baru lalu.

Tangkapan: Ketua Muslimat yakin rakyat akan bangkit

Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin
Tue | Dec 11, 07 | 4:39:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) – Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengutuk keras tindakan polis yang membuat tangkapan rambang terhadap pimpinan PAS dan KeADILan serta aktivis lain ketika cuba menghantar memorandum bantahan di Parlimen.

Beliau ditahan polis ketika meninjau laluan ke kawasan Parlimen, memandangkan semua jalan utama menuju ke bangunan berkenaan telah dikepung polis.

Menurut Nuridah, tangkapan rambang itu mengesahkan bahawa Malaysia sebuah Negara Polis dan ternyata demokrasi negara sudah pincang.

nuridll.jpg

Bagaimanapun, katanya, rakyat tidak takut dengan tangkapan rambang itu sebaliknya mereka akan terus bangkit memperjuangkan hak kebebasan.

“Sungguh memalukan kita hanya hendak menghantar memorandum kepada PM, tetapi polis telah membuat sekatan dengan menggunakan pagar besi serta ratusan polis,” katanya.

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berada di Ibu Pejabat Polis (IPK), sedang menunggu tindakan selanjutaya daripada pihak polis.

Katanya, polis perlu berfikir sebelum membuat tangkapan rambang dan tindakan perlu secara rasional, jangan hanya ikut arahan pimpinan Umno.

“Saya pelik dengan tangkapan kali ini yang melibatkan beberapa pimpinan utama PAS dan KeADILan,” tegasnya. Beliau turut terkilan dengan tindakan polis yang menahan anak Timbalan Muslimat PAS Pahang, Muhaimin Roslan, 13 tahun.

Nuridah memberitahu Muhaimin disoal siasat oleh polis yang bertanya mengapa dia memakai baju kuning.

“Mereka juga menggertak Muhaimin dengan berkata jika PAS dan KeADILan memerintah ‘susah hendak cari makan’,” katanya.

Katanya, tindakan ‘membabi buta’ polis ketika membuat tangkapan membuktikan pasukan keselamatan tidak cekap dalam menjalankan tugas. – lanh