Muslimat Tidak Lesu

Muslimat yang dikasihi,

Ramadhan hampir melepasi hari ke 10, inilah masanya ujian yang lebih hebat terpaksa dihadapi oleh muslimat bila memikirkan akan berhadapan dengan hari-hari seterusnya. Terpaksa melengkapi diri untuk memenuhi tuntutan yang memang sentiasa menghambat kita. Semua muslimat akan merasainya… kalau ada bersikap cuba tidak ambil peduli pun, akan terkena tempiasnya, sekurang-kurang akan terdengar rengekan anak-anak untuk balik berhari raya di kampong, membeli baju raya, kuih raya, acara selepas raya dan paling tidak pun menu berbuka, moreh dan bersahur. Itulah dia muslimat sebagai isteri, ibu, pengasuh, dan da’ie. Sementelah lagi yang berkejaya, tidak habis-habis meeting – presentation, meeting-presentation, meeting-presentation. Muslimat memang bertitle pengurus kepada institusi keluarga dan pencorak masyarakat, seperti tajuk ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat MUSLIMAT PENGGERAK KEMENANGAN PENYELAMAT UMMAH.

Gerak fikir muslimat mesti sentiasa berjalan, seperti denyutan nadi bagi manusia. Lantaran, siapakah yang akan menguruskan diri sendiri?  Kita juga. Justeru bagi memenuhi segala tuntutan tersebut kita perlu kepada persiapan rohani yang tinggi. Padatkan segala keperluan pengisian rohani  di dalam kita menyelusuri hari-hari terakhir Ramadhan ini….. Jangan dibuaikan dengan kelekaan yang diasak di sekeliling kita. Jangan cuba-cuba untuk menerjah ke sebarang tempat atau situasi yang boleh menggoyah kita…. Ingat.. Kita Banyak Lagi Tugasan Selepas ini……..

KAK NURI : PENYEMARAK KEBANGKITAN MUSLIMAT

Dipetik dari laman web Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Friday, December 14, 2007

Seingat saya , sejak saya menyertai PAS pada tahun 1985 inilah kali pertama Ketua Dewan Muslimat PAS ditangkap atas “kesalahan” berniat untuk memasuki parlimen ( Dewan Rakyat ) .

Apakah ini petanda bahawa Muslimat telah mula meletakkan diri mereka di rel utama yang melandasi perjuangan suci ini ? Ya ! saya merasakan demikian . Tambahan pula , peristiwa tangkapan Ustazah Nuridah itu berlaku dihadapan mata saya . Saya dapat melihat bagaimana ketabahan dan ketenangan beliau menghadapi situasi ini .

Lebih menarik , turut tertangkap bersama Ustazah Nuridah ialah Dr. Lo’ Lo’ yang pastinya figure ini dikenali umum sebagai seorang tokoh Muslimat yang gigih dan cekal .

Semasa kami “terkurung” di IPK KL , saya terus mengikuti perkembangan yang berlaku di luar dan seorang sahabat , akhi Fadhil Shafie tak jemu – jemu melaporkan apa yang sedang berlaku di pintu masuk IPK KL .

Antara laporan yang saya terima , ialah bagaimana perkarangan IPK telah dikuasai oleh “tentera” Muslimat yang di ketuai oleh Dr. Mariah ( AJK PAS Pusat ) , Ustazah Wan Hasrina ( Timbalan Ketua Dewan Muslimat ) dan Aiman Athirah al Jundi ( Setiausaha Dewan Muslimat ) .

Suara pemuda atau muslimin yang biasanya lantang dipentas demontrasi jelas tenggelam di bawah laungan semangat para Muslimat yang berkumpul di depan IPK pada waktu itu .

Sehingga ada seorang pemuda yang turut serta dalam himpunan di perkarangan IPK tersebut memberitahu saya , bagaimana situasi itu benar – benar dikuasai Muslimat . Muslimat berbalas hujjah dengan pihak PDRM sehingga menimbulkan suasana panas dan tegang ekoran pihak PDRM enggan menunaikan tuntutan mereka agar membebaskan kami yang sedang ditahan pada waktu itu .

Amaran demi amaran dikeluarkan oleh PDRM supaya mereka bersurai , langsung tidak menggentarkan semangat para mujahidah yang terus lantang melaungkan slogan bebaskan tahanan !

Sehinggalah seorang pejuang tua yang istiqamah , malah tidak pernah mengenal erti kalah hadhir bagi menampakkan kembali penguasaan sang muslimin dalam satu – satu perhimpunan . Orang tua berjiwa kental yang saya maksudkan ialah Pak Cik Amjal .

Semarak perjuangan amal Islami berbekal semangat dan kesedaran menuntut hak terus marak sehingga saya sendiri mendengar suara amaran PDRM melalui corong speaker meminta mereka bersurai dalam masa 5 minit sebelum mereka diambil tindakan dan ditangkap .

Ternyata amaran itu sekali lagi tidak memberi kesan kepada mereka selagi ketua mereka Ustazah Nuridah , Dr. Lo’ Lo’ dan semua tahanan belum dibebaskan . Keadaan kian tegang sehinggalah kehadhiran Yb Salahudin Ayub ( Ketua DPP Pusat ) menenangkan keadaan dan bersedia utk mengambil tangungjawab bagi melanjutkan usaha membebaskan tahanan .

Apa yang ingin saya nukilkan di sini ialah kebangkitan Muslimat yang sebelum ini dilihat secara umumnya tidak bernada dan berwajah sebagaimana yang disaksikan hari ini , adalah satu kebangkitan yang sangat membanggakan .

Nyata kini mereka juga sememangnya berani berhadapan dengan kuasa yang angkuh dan zalim demi memperjuangkan Islam . Apa yang cukup membuatkan hati saya tersentuh , mereka juga sanggup mengambil risiko demi perjuangan ini dan ianya mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan duniawi .

Kalau yang ditangkap hanya seorang lelaki atau pemuda , itu tidaklah menghairankan saya dalam perjuangan kita di Malaysia ini. Tetapi apabila seorang Muslimat yang juga ibu kepada anak yang ramai dan masih memerlukan belaiannya , ini sangat menyentuh hati saya .

Ustazah Nuridah atau lebih senang saya panggil Kak Nuri , kini sering menasihati para muslimat anak buahnya agar tidak gentar dengan ugutan polis atau pihak musuh untuk memastikan agenda perjuangan Islam yang kita dokong ini terus dilangsungkan dengan jayanya.

Malah , sewaktu Kak Nuri memberi statement kepada pihak polis , dengan tegas Kak Nuri menyatakan bahawa saya tidak bersetuju saya ditangkap kerana saya adalah seorang rakyat yang baik dan berjuang demi kepentingan agama , bangsa dan tanahair .

Akhirnya , apa yang ingin saya kongsi dengan semua pencinta agama , khasnya Muslimat terhadap apa yang berlaku sewaktu kami dalam tahanan di IPK baru – baru ini , cukup menjanjikan sinar buat perjuangan khasnya melalui sayap kirinya .

Sebagaimana umum mengatahui , muslimat yang tertangkap hari itu ialah Kak Nuri dan Dr. Lo’ Lo’ . Sedari awal mereka turun ke parlimen hinggalah detik kami dibebaskan , kak Nuri dan Dr’ Lo’ Lo’ kelihatan sangat ceria , tenang dan mesra .

Saya melihat mereka bagai satu regu yang cukup mantap dengan gabungan segala kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh mereka untuk terus memimpin Muslimat meredah belantara perjuangan ini .

Sementara diluar bangunan IPK pula , Ustaz Wan Hasrina atau lebih mesra saya panggil Kak Wan bergandingan pula dengan Dr. Mariah .

Saya antara yang sangat memahami bagaimana Dewan Muslimat terpaksa melalui hari – hari yang sukar mengorak rentak dan mencari sentuhan dalam mendepani pelbagai halangan dan rintangan ( tahaddiyat ) sebelum ini , kini bagaikan telah menemui ramuan membentuk regu kepimpinan yang mantap dan digeruni musuh .

Ya ! Gandingan Kak Nuri , Kak Wan ( Ketua dan Timbalan Ketua DMP Pusat ) dan Dr. Lo’ Lo’ , Dr Mariah ( AJK PAS Pusat ) akan menjadi 2 regu dalam satu pasukan menyemarakkan kebangkitan muslimat .